TAFSIR AL-MU'AWWIDZATAIN (SURAH AL-FALAQ DAN AN-NAAS)-1
Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli,
TAFSIR AL-MU'AWWIDZATAIN (SURAH AL-FALAQ DAN AN-NAAS)-1
I. TAFSIR SURAH AL-FALAQ
Allah Ta’ala berfirman,
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ {1} مِن شَرِّ مَاخَلَقَ {2} وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ {3} وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فيِ الْعُقَدِ {4} وَمِن شَرِّحاَسِدٍ إِذَا حَسَدَ {5}
Katakanlah:"Aku berlindung kepada Rabb yang menguasai subuh,(1). dari kejahatan makhluk-Nya, (2). dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita, (3). dan daripada kejahatan-kejahatan wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,(4). dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki."(5)
Keutamaan Surah
Mengenai keutamaan surah ini dan surah an-Naas terdapat banyak sekali hadits, di antaranya:
-
Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata, “Rasulullah SAW., bersabda, ‘Tidakkah kamu mengetahui bahawa pada malam ini telah diturunkan beberapa ayat yang tidak pernah sama sekali dilihat ada yang semisalnya; Qul `A’uudzu bi rabbil falaq dan Qul `A’uudzu bi Rabbinnaas.’” (Shahih Muslim, hadits no.814)
-
Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya daripada ‘Uqbah bin ‘Amir, di antara bunyinya menyatakan bahawa Rasulullah SAW., pernah bersabda, “Wahai ‘Uqaib! Maukah aku ajarkan kepadamu dua surah yang merupakan sebaik-baik dua surah yang dibaca manusia.?” Lalu aku berkata, “Tentu saja, wahai Rasulullah. Maka beliau pun membacakan kepadaku, ‘Qul `A’uudzu bi rabbil falaq dan Qul `A’uudzu bi rabbinnaas’ kemudian shalat pun didirikan, maka Rasulullah SAW., maju lantas membaca kedua surah tersebut, kemudian memerintahkan kepadaku seraya bersabda, ‘Bagaimana pendapatmu, wahai ‘Uqaib.? Bacalah keduanya tatkala kamu mau tidur dan bangun.’” (al-Musnad, Jld.IV, h.144; Sunan an-Nasaa`iy, Jld.VIII, h.153)
Bila Surah Ini Dibaca?
- Ketika Mengeluhkan Sesuatu Yang Sakit
Hal ini berdasarkan riwayat Malik dengan sanadnya daripada ‘Aisyah RA., bahawasanya bila Rasulullah SAW., mengeluhkan rasa sakit, beliau membacakan untuk dirinya dengan al-Mu’awwidzatain (Surah al-Falaq dan an-Naas) dan meludah kecil, namun tatkala rasa sakitnya semakin parah, maka aku pun membacakan untuknya dan menyapunya dengan kedua tangannya kerana berharap ada keberkahannya. (al-Muwaththa`, bab: at-Ta’awwudz wa ar-Ruqyah Fi al-Mardla, h.943)
- Ketika Akan Tidur
Salah satunya telah disebutkan ketika membahas mengenai keutamaannya di atas. Hadits lainnya adalah sebagaimana terdapat di dalam Shahih al-Bukhary dari ‘Aisyah RA., bahawasanya bila Nabi SAW., beranjak ke pelaminannya (untuk tidur) setiap malamnya beliau mengumpulkan kedua telapak tangannya kemudian menghembus ke arah telapak tangan itu lalu membaca ‘Qul huwallaahu Ahad, Qul `A’uudzu birabbil falaq dan Qul `A’uudzu birabbinnaas,’ kemudian menyapu dengan keduanya (kedua telapak tangannya) bahagian badan yang mampu disapunya, dimulai dari atas kepala, wajah, bahagian badan selanjutnya. Beliau melakukan hal itu hingga tiga kali. (Shahih al-Bukhary, Jld.IX, h.63, hadits no.5017)
Kosa Kata
Makna lafazh `A’uudzu : Aku berlindung dan meminta perlindungan kepada-Mu, wahai Allah
Makna lafazh al-Falaq : Shubuh/pagi atau makhluk, ertinya, Allah Ta’ala memerintahkan kepada Nabi-Nya agar berlindung daripada semua makhluk
Makna lafazh Ghaasiq : Malam apabila telah memasuki kegelapan
Makna lafazh Idza Waqab : Bila matahari sudah terbit dan kegelapan malam telah menjelang
Makna lafazh an-Naffaatsaat : Wanita-wanita tukang sihir bila mereka menjampi dan meludah kecil pada buhul-buhul lalu menyihir manusia
Makna lafazh Haasid : Orang yang dengki dan hasad (dengki) adalah bercita-cita hilangnya nikmat daripada orang lain
Surah ini mengandung al-Isti’aadzah (minta perlindungan) daripada semua kejahatan baik secara umum mahupun khusus, berlindung (kembali) kepada Allah dan berlindung dengan naungan rahmat-Nya daripada segala keburukan serta berpegang teguh dengannya daripada kejahatan semua makhluk-Nya.
Beberapa Pesan
1. Wajib hanya meminta perlindungan kepada Allah semata daripada semua hal yang membahayakan, khususnya daripada kegelapan, sihir dan pelakunya, hasad dan pelakunya kerana besarnya keburukan tersebut
2. Surah ini banyak keutamaannya dan sangat berguna sekali, terutama di dalam mengubati sakit, ‘ain (penyakit yang muncul apabila dilihat oleh orang yang dengki atau orang yang kagum melihat tetapi tidak memuji Allah) dan sihir
3. Surah ini menunjukkan hakikat sihir
4. Larangan berbuat hasad (iri hati) dan bahawa ia merupakan sifat yang tercela
(SUMBER: Silsilah Manaahij Dawraat asy-Syar’iyyah- fi`ah an-Naasyi`ah- at-Tafsiir karya Dr.Ibrahim bin Sulaiman al-Huwaimil, h.57-59)
http://alsofwah.or.id/index.php?pilih=lihatquran&id=63